LA TAHZAN. ALLAH ADA.
'Saat Diri Diuji' bersama Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam segmen Islam Itu Indah
Kepedihan dan kesedihan yang datang bersama dalam ujian yang kita hadapi sematkanlah dalam hati dan bersangka baik kepada Allah SWT.
Sekiranya kita belum nampak kebaikan yang Allah SWT berikan melalui takdir ujian itu menunjukkan ilmu pengetahuan kita tidak mampu mengukur dan menjangka ilmu Allah SWT yang Maha Luas.
Pujuk hati untuk menerima takdir walaupun mungkin mengambil masa untuk kita melihat kebaikan di sebalik kepahitan, kepedihan dan kesakitan yang diberikan Allah SWT.
Kegagalan, kerugian, kesakitan, perpisahan dan kematian mempunyai kebaikan jika semua itu datang daripada Allah SWT. Hikmah yang berlaku itu mungkin kita tidak dapat melihat disebabkan oleh mata hati kita yang buta.
Bukalah mata hati untuk melihat sesuatu yang tersirat daripada yang tersurat supaya kita selalu dapat dihubungkan dengan Allah SWT untuk ditambahkan keimanan.
Oleh yang demikian, Pahrol terus mengingatkan bahawa bersangka baik dan ingatlah kepada Allah SWT kerana kaedah itu akan menjamin kebaikan hidup. Hal ini dapat kita lihat menerusi firman Allah di dalam hadis qudsi di mana sabda Rasulullah SAW bahawa Allah SWT telah berfirman: "Aku (Allah) adalah seperti sangkaan hamba-Ku terhadap Aku. Dan Aku bersamanya tatkala dia mengingati-Ku. Sekiranya dia mengingati-Ku dalam dirinya, maka Aku akan mengingatinya dalam diri-Ku".
Perkara ini dapat kita lihat menerusi firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 286, yang bermaksud: "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya".
Didik dekat kepada Ilahi
Ujian adalah didikan daripada Allah SWT kepada hamba-Nya untuk lebih mendekatkan diri kepada Tuhan yang maha pencipta. Sekiranya kita sentiasa rasa selamat dan selesa dengan tahap iman yang sedia ada, sedangkan diri kita belum berada di tempat yang betul di sisi Allah SWT, maka sebab itulah Allah SWT menurunkan ujian untuk memperbetulkan keadaan diri kita.
Hal ini termasuklah ketika diri diuji, Allah SWT mahu kita menggunakan sepenuh kekuatan yang ada dalam diri disamping melaksanakan kaedah yang terbaik dengan memantapkan ibadah solat dan berdoa.
Oleh itu, setiap ujian juga membawa pengajaran supaya menjadi lebih soleh serta dapat meningkatkan lagi ketakwaan kepada Allah SWT.
Ambillah manfaat ujian yang diberikan oleh Allah SWT itu dengan bersangka baik kepada-Nya dan pelajarilah hikmah daripada ujian tersebut supaya kita dapat menjadi sebaik-baik hamba.
#akumanusiabiasa
#akuhambaMU
#Allah maha menyembuh
#permudahkanlah urusan kami yaALLAH
#sembuhkanlah NurAyraHasya ya ALLAH
No comments:
Post a Comment